Bad Indigo.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Bad Indigo dilaporkan meninggal dunia di tempat kerjanya di Ampang, Selangor kira-kira pukul 7.00 malam ini.

Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun.

Berita sedih itu disahkan oleh penyanyi Liza Hanim yang memaklumkan mendapat khabar tersebut daripada rakan-rakan suaminya iaitu Shah yang juga merupakan anggota Indigo.

“Saya dapat tahu dari rakan-rakan. Arwah meninggal di tempat kerja. Punca kematiannya saya pun masih belum tahu.

“Saya dan suami dalam perjalanan ke sana. Kami masih terkejut dengan berita itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media.

Sementara itu, Bad bersama Indigo memulakan kerjaya seni mereka pada 1996 dan kumpulan ini popular menerusi lagu-lagu seperti Kenang Dirimu serta Masih Seperti Dulu.

Kumpulan ini juga pernah menyertai program nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh dan ketika itu Bad bertemu jodoh dengan penyanyi Ashira.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 namun berpisah pada Jun 2022.

Bad juga pernah berkahwin sebelum itu dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Pada Januari 2021, Bad terpaksa menjalani pembedahan secara berperingkat memotong jari kaki kirinya yang luka akibat penyakit diabetes di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Biarpun pergerakkannya terbatas, Bad sedaya upaya cuba untuk menguruskan diri sendiri tanpa mahu menyusahkan individu lain.

Selain aktif menyanyi Bad juga bekerja tetap sebagai Pembantu Jualan dan Pemasaran di Reiber Auto yang terletak di Bukit Permai, Ampang, Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast