KUALA LUMPUR – Gara-gara memberi bayangan seolah-olah berkecil hati dengan Astro kerana tidak menghargainya sebagai penaja utama All Stars Gegar Vaganza (ASGV) musim ini, Azmi Zainal dikecam netizen.
Ini kerana beliau dikritik sanggup menghabiskan wang berjuta untuk menaja semata-mata program hiburan sahaja.
Namun Azmi yang juga Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh pantas menepis kritikan itu.
Beliau mendedahkan Farm Fresh bukan syarikat yang gemar berkongsi cerita yang dianggap masuk bakul angkat sendiri dan mengamalkan budaya tangan kanan memberi dan tangan kiri tidak tahu.
Malah jelas beliau, Farm Fresh berjaya mengubah format GV daripada hiburan semata-mata dengan menyelitkan Kongsi Rezeki dengan membantu mereka mereka kurang bernasib baik bersama Astro.
“Farm Fresh bukan hanya taja GV sahaja… kita taja macam-macam program CSR… dan kami fokus untuk membantu pendidikan negara. Tahun ni sahaja kita membelanjakan lebih kurang RM1.2 juta untuk membantu murid-murid miskin melalui program multidimensi.
“Kami buka 10 kelas multidimensi sebagai pilot projek… kami bagi anak2 B40 tuisyen percuma… kelas mengaji al-Quran, pemeriksaan kesihatan, makanan berkhasiat dan macam-macam lagi.
“Kami juga bagi biasiswa untuk anak-anak Orang Asli yang cemerlang dalam pelajaran. Masa COVID-19 kami sumbang RM600, 000 dan kami gunakan platform GV juga untuk kita sama-sama membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 yang akhirnya mendapat sumbangan RM400, 000 dari penonton dan menjadikan jumlah sumbangan RM1 juta kepada Yayasan Didik Negara.
“Hari ni pun kami tengah menyusun untuk menghantar susu ke Palestin. Program keagamaan pun kami buat juga melalui sumbangan syarikat dan peribadi saya… tapi tidak kita nak cerita masuk bakul angkat sendiri macam pepatah cakap…”tangan kanan memberi tangan kiri tak tau,” tulisnya di Facebook miliknya.
Azmi menambah, melalui GV juga beliau mendapat gelaran Boss Susu dan ramai orang mengenalinya sebagai seleberiti.
“Dan bila kita jadi orang terkenal atau ikon ia adalah satu tanggungjawab sosial agar kita dijadikan contoh yang baik untuk masyarakat serta generasi… kita kena jaga adab dan akhlak termasuk tutur kata agar menjadi ikutan yang baik… tak guna kalau kita popular tapi adab dan tutur kata kita merapu meraban macam orang mabuk ketum,” tulisnya.
Jelas Azmi lagi, salah satu sebab utama Farm Fresh menaja GV adalah untuk membantu memudahkan usahawan atau homedealer syarikat itu yang terdiri daripada suri rumah tangga untuk membuat jualan susu yang dapat membantu mereka menampung perbelanjaan keluarga mereka. – MalaysiaGazette