LONDON – Manchester United dijangka membuat ‘pusingan U’ dengan menandatangani kembali David De Gea sebagai persediaan melepaskan Andre Onana untuk menyertai skuad kebangsaan Cameroon dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika awal Januari depan.
Menurut The Sun, ia merupakan langkah penyelesaian untuk sokongan kepada posisi penjaga gol.
De Gea diramal kembali untuk tempoh jangka pendek.
Sebelum ini, spekulasi mengenai masa depan penjaga gol lagenda Manchester United itu kembali hangat apabila dia dikatakan telah kembali ke Manchester berdasarkan perkongsian gambar di Instagram rasmi miliknya baru-baru ini.
Perkongsian tersebut menarik minat peminat yang mendesak United supaya menandatangani semula pemain kelahiran Sepanyol itu, dengan majoriti peminat membuat spekulasi bahawa kepulangan De Gea ke Old Trafford sedang dalam proses untuk direalisasikan.
Bagaimanapun, laporan daripada koresponden Michael Pavitt memetik, De Gea kembali ke United Kingdom dan menghabiskan masa selama beberapa hari untuk mengemas rumah yang didiami selama 12 tahun di Hale. – Agensi