Izzah peruntukan PH BN
Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan diminta campur tangan menghentikan operasi memusnahkan tanaman petani di Kanthan, Tambun, Perak.

Demikian reaksi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang bepandangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamad Sabu wajar menyelesaikan isu petani tidak bertanah  di kawasan yang diwakili Anwar sendiri sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berkaitan keterjaminan makanan menyeru kerajaan  supaya memberikan tanah kepada mereka dan juga para petani yang tidak bertanah di seluruh negara untuk menghasilkan tanaman makanan.

“Petani-petani itu menghasilkan 60 tan sayur-sayuran sehari untuk rakyat. Mereka menanam jagung, bayam, sawit, belimbing dan daun bawang di kawasan seluas 25 ekar.

“Usaha produktif petani-petani tersebut sepatutnya disokong oleh kerajaan sama ada kerajaan Pusat atau pun kerajaan negeri.

“Sebaliknya petani-petani itu diusir secara paksa, dikasari oleh pihak yang berkuasa dan ditahan pada hari tersebut. Petani-petani itu telah mengerjakan tanah-tanah tersebut dengan menanam sayur-sayuran selama tiga generasi.

“Perkara ini berlaku ketika Malaysia sendiri menghadapi  masalah kos makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hassan berkata, keadaan itu berlaku dalam semasa Malaysia terpaksa mengimport makanan untuk rakyat dan ternakan lebih RM50 bilion setahun.

Jelasnya, petani terbabit pernah datang ke Parlimen September lalu untuk bertemu Perdana Menteri iaitu wakil rakyat mereka dengan membawa satu memorandum supaya membantu  agar mereka tidak diusir dari tanah pertanian yang mereka usahakan.

Malangnya, menurut Hassan, mereka yang merupakan peneroka tanah-tanah tersebut tidak dapat berjumpa Perdana Menteri malah diusir masuk ke Parlimen oleh pihak keselamatan.

Sinikal Hassan berkata, Perdana Menteri mungkin sibuk dengan urusan pentadbiran urusan antarabangsa berkait serangan Israel ke atas Gaza di Palestin sehingga tidak menyedari kezaliman juga sedang berlaku ke atas rakyat di kawasan sendiri tanpa disedarinya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast