SEPANG – Jenazah mangsa sindiket pemerdangan manusia, Muhammad Izzat Abdul Wahab selamat tiba di tanah air jam 4.25 petang sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halaman hari ini.

Muhamad Hasmanizam Abdul Wahab berkata, sejurus tiba jenazah adiknya dibawa ke I-secure di Kargo MAS di Sepang bagi menguruskan proses dokumentasi penerimaan jenazah.

“Proses dokumentsi memakan masa lebih sejam bagi mendapatkan pengesahan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ianya prosedur wajib apabila menerima mayat dari luar negara selain dari proses pengesahan dan pelepasan oleh pihak Jabatan Kastan Diraja Malaysia.

“Jenazah kemudian dibawa keluar dari Kompleks Kargo Kastam jam 6.45 petang tadi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hadir sama mengiringi ketibaan jenazah ialah wakil dari kerajaan negeri Pahang dan pihak Wisma Putra.

Pada 18 Oktober lalu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM25,000 bagi membantu membiayai kos membawa pulang jenazah Muhammad Izzat untuk dikebumikan di Kuantan.

Pada Rabu lalu, mayat Muhammad Izzat dibawa dari Taichileik untuk proses bedah siasat di Hospital Yangon pada Jumaat.

Pada Sabtu keputusan bedah siasat mendapat punca kematian Muhammad Izzat adalah disebabkan sesak nafas.

Difahamkan setibanya di Kuantan solat jenazah kedua akan dilakukan dan Muhammad Izzat akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Perkuburan Peramu, Kuantan malam ini.

Muhammad Izzat merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri, 27, dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette