Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf . Foto WAN NABIL NASIR, 26 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membuka sebanyak 33,269 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian RM1.75 billion sejak 1 Januari hingga 22 Oktober yang lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 27 peratus kertas siasatan telah dibuka daripada 125,169 laporan yang dibuat.

“Dari aspek laporan polis ia merekodkan peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding hanya 116,450 laporan polis pada tahun lalu.

“Begitu juga bagi kes-kes yang disiasat turut meningkat sebanyak 20 peratus dari jumlah 27,670 kes yang disiasat bagi tempoh sama pada tahun 2022,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Tambah Ramli, dalam perkambangan sama, daripada aspek pertuduhan pula sebanyak 11,903 kes atau 36 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang minggu kajian bertempoh 16 Oktober hingga 22 Oktober lalu, sejumlah 891 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersial.

“Daripada jumlah terbabit, kes-kes jenayah komersial bersindiket mencatatkan sejumlah 620 kes iaitu bersamaan dengan 69.6 peratus,” katanya.

“Kes-kes jenayah komersial bersindiket adalah merujuk kepada 14 modus operandi penipuan utama antaranya penipuan belian dalam talian, pelaburan, pinjaman tak wujud, phone scam dan along.

“Selain itu, love scam, kes penipuan emel (Business Email Compromise), tanah tidak wujud, wang palsu, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS), penipuan nombor ramalan, penipuan bomoh, kad kredit dan penyamaran bersemuka juga antara jenayah komersil bersindiket,” ujarnya.

Ramli juga menegaskan, kes penipuan belian secara dalam talian mencatatkan jumlah kes tertinggi bagi minggu kajian iaitu 257 kes dengan kerugian RM3,864,667.98.

“Dalam pada itu, kes penipuan pelaburan turut mencatatkan jumlah kes yang tinggi iaitu 156 kes melibatkan kerugian RM21,123,014.00 manakala lain-lain kes mencatatkan jumlah di bawah 100 kes,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette