KUALA LUMPUR – Skuad Kelantan FC terus dirundung malang apabila kali ini melibatkan padang latihan.
Ketika ini, tular gambar di laman media sosial yang dikongsikan oleh penyokong setia pasukan itu mengenai penutupan padang latihan di Pejabat Pertanian Lundang, Kota Bharu, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan.
Terdapat netizen mendakwa TRW Kelantan tidak mampu membayar sewa bulanan dan kini dihalang daripada memasuki kawasan itu.
Difahamkan sudah dua kali Jabatan Pertanian menutup kawasan tersebut dalam tempoh lima bulan.
Kali terakhir laman Facebook rasmi TRW Kelantan memuat naik gambar sesi latihan di padang tersebut adalah pada 12 Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Ahmad Muzakkir Hamid sempat menjawab pertanyaan peminat dan menjelaskan, lokasi padang latihan telah ditukar ke lokasi lain kerana kadar sewa yang lebih rendah.
Ia menguatkan lagi desas desus mengenai kegagalan pasukan itu membayar sewa untuk menggunakan padang latihan tersebut.
“Mengenai padang latihan Kelantan FC, kita telah berpindah ke padang baru yang mana kadar sewanya lebih rendah,” jelasnya.
Muzakkir turut mengakui kadar sewa padang pertanian Lundang tersebut agak tinggi dan pihaknya terpaksa menyusun semula kewangan pasukan.
“Padang latihan lama itu memang kadar sewa tinggi, sekarang kewangan kita terhad dan sudah tentu kita nak cari padang yang lebih fleksibel sedikit,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan TRW Kelantan berdepan masalah kewangan termasuk menghadapi masalah bayaran gaji pemain yang tertunggak selama beberapa bulan. – MalaysiaGazette