KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menghalang mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kedah untuk menyertai program pendidikan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPT sentiasa menyambut baik penganjuran program pendidikan oleh mana-mana badan Kerajaan sama ada Kerajaan Pusat atau negeri yang memberi manfaat kepada mahasiswa di IPTA.
“Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih manamana program yang ingin disertai selagi penyertaan dalam program tersebut mematuhi dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh universiti.
“Pada masa yang sama, pihak Kementerian memberi kebebasan serta kuasa budi bicara kepada IPTA untuk menentukan atau memilih program atau kerjasama yang hendak dilakukan,” jawab Khaled mengenai soalan lisan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) di Dewan Rakyat semalam.
Abd Ghani mengutarakan pertanyaan di Dewan Rakyat mengapa IPTA yang ada di Kedah dilarang menyertai program-program pendidikan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. – MalaysiaGazette