Tiong King Sing
Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah merekodkan kedatangan pelancong asing seramai 9.1 juta setakat Jun tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya sedang memperhebatkan lagi usaha promosi pelancongan negara.

“Ia untuk mengatasi halangan-halangan ketibaan lebih ramai pelancong asing dengan menekankan aspek melancong dengan selamat serta mengetengahkan experiential tourism bagi memberi keyakinan kepada pelancong untuk bercuti dan melancong ke Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.

King Sing menjawab pertanyaan lisan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang mahu kerajaan menyatakan jumlah ketibaan pelancong asing ke negara kita sepanjang 2023 dan usaha untuk mengatasi halangan-halangan ketibaan lebih ramai pelancong asing.

King Sing berkata antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh MOTAC adalah penyertaan dalam pameran-pameran pelancongan antarabangsa, mengadakan promosi pelancongan yang merangkumi roadshow di pasaran sasaran seperti Australia, China, Eropah,India, Jepun, Korea, dan Nordic serta melaksanakan promosi pelancongan melalui saluran digital seperti promosi melalui media sosial untuk terus meletakkan visibiliti Malaysia di mata pelancong dan ejen pelancongan di pasaran-pasaran sasaran. – MalaysiaGazette