Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri menyatakan Putrajaya tidak gentar dengan ugutan pihak luar terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu membela rakyat Palestin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia tetap teguh dengan pendirian Anwar yang mempertahankan rakyat Palestin yang ditindas zionis Israel.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia turut mengambil untuk tidak akan menamakan pihak yang memberikan tekanan kepada Anwar

“Saya fikir elok kita tidak namakan siapa mereka tapi seperti mana yang ditegaskan Perdana Menteri sebelum ini berkali-kali kita tidak gentar dengana sebarang ugutan yang dilakukan oleh pihak mereka,” katanya menjawab soalan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) hari ini.

Zambry berkata demikian mengulas soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin pihak kerajaan  menamakan negara luar yang bertindak mengugut Anwar.

Pada Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin malam Selasa lalu, Anwar mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika Syarikat (AS).

Kata Anwar, beliau akan terus mempertahankan Palestin selagi diberi mandat sebagai Perdana Menteri di samping menerima sokongan padu seluruh rakyat Malaysia.

“Saya sebut kamu (negara sokong Israel) salah pilih orang, Malaysia negara bebas dan merdeka. Kita kekal negara berdaulat akan pertahankan kebebasan Palestin.

“Selagi saya diberi mandat, saya tak takut terima ugutan, kita akan lawan,” katanya. – MalaysiaGazette