Nazeri didakwa atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang Mejar yang kini bertugas di Pangkalan Udara Butterworth mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu RM4,345 bagi bayaran kelas bimbingan anak tentera negeri Pulau Pinang kategori UPSR dan PT3 pada 2018.

Tertuduh, Mohd Nazeri Noor, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat di Sel Pendidikan Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak Bayan Lepas telah memperdayakan pegawai sel pendidikan am Jabatan Arah Pendidikan, Kementerian Pertahanan Malaysia membuat bayaran tuntutan bagi kelas bimbingan untuk anak-anak tentera kawasan Pulau Pinang kategori UPSR dan PT3.

Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Mac hingga 24 September 2018 dan pegawai berkenaan tidak akan memproses bayaran keseluruhan berjumlah RM4,345 sekiranya beliau tahu kelas bimbingan tersebut tidak dilaksanakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM9,000 bagi kesemua pertuduhan.

Ketika prosiding, Noor Azura memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi tiga pertuduhan yang dibacakan terhadap tertuduh selain bebeapa syarat tambahan.

Namun tertuduh meminta mahkamah tidak mengenakan jaminan berbayar atas faktor menanggung enam anak yang masih belajar di universiti serta tadika selain dia sendiri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Zulhazmi kemudian menetapkan jaminan RM9,000 bagi tiga pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali, serah pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi bagi kes tersebut.

Mahkamah juga menetapkan 30 November depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

https://twitter.com/MalaysiaGazette/status/1717376684251550171