MYAirline
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah membuka siasatan terhadap MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober 2023, berikutan pengumuman penangguhan operasi syarikat penerbangan tersebut pada 12 Oktober 2023.

MAVCOM berkata, surat tunjuk sebab tersebut menyatakan kegagalan MYAirline untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) termasuk pembayaran gaji dan faedah pekerja yang masih belum dijelaskan.

“MYAirline telah diarahkan untuk mengemukakan penjelasan bertulis sebelum 27 Oktober 2023,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Selepas menerima penjelasan bertulis MYAirline, MAVCOM akan menilai sama ada MYAirline layak untuk kekal sebagai pemegang ASL atau ASL MYAirline harus digantung atau dibatalkan menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], katanya.

MAVCOM berkata, ia akan mengumumkan perkembangan terbaharu berkaitan dengan siasatan tersebut minggu depan dan sedang melakukan penyiasayan terhadap MYAirline sekiranya ia melanggar syarat-syarat ASL yang lain.

“Mengenai bayaran balik kepada para pengguna yang terjejas, MAVCOM telah berhubung dengan pelbagai agensi termasuk pihak Bank Negara Malaysia untuk mencari pelbagai kaedah mendapatkan bayaran balik tersebut. MAVCOM akan membuat pengumuman mengenainya kelak,” katanya.

Sementara itu, MAVCOM telah menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada seorang Ahli Suruhanjaya, Anggota-anggota Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Penyelesaian Pertikaian serta Jawatankuasa Perlindungan Pengguna.

Pasukan petugas berkenaan diberi mandat untuk menyiasat perkara berkaitan pembayaran balik kepada penumpang terjejas dan memberi cadangan mengenai langkah seterusnya.

Walaupun rangka kerja kelulusan pelesenan sedia ada yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah komprehensif, pasukan petugas itu akan turut menyemak semula rangka tersebut bagi sebarang penambahbaikan.

MYAirline Sdn Bhd mengumumkan bahawa ia menggantung operasinya berkuat kuasa 12 Oktober berikutan tekanan kewangan yang ketara. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast