Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tidak pernah memaksa pembeli kediaman Aspire Residence di Cyberjaya menerima tawaran bagi pengurangan bayaran Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD).

Menurut kenyataan SPNB, tawaran itu dibuat dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta kekangan kewangan syarikat tanpa menafikan hak pembeli.

“SPNB sebagai agensi di bawah KPKT kekal komited untuk tidak menafikan sebarang hak para pembeli kediaman Aspire Residence berhubung isu tuntutan LAD ini.

“Tiada sebarang unsur paksaan kepada para pembeli dalam penerimaan tawaran ini.

“SPNB yakin bahawa isu tuntutan LAD ini akan dapat diselesaikan secara harmoni bersama para pembeli,” katanya.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan sebahagian besar pembeli kediaman Aspire Residence mendesak pemaju membayar LAD secara penuh dan bukannya 15 peratus seperti mana yang ditawarkan ketika ini.

Tawaran itu bukan sahaja menyinggung perasaan pembeli yang menunggu lebih tujuh tahun projek itu disiapkan, bahkan ia melanggar Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani SPNB pada 2016.

Jurucakap penduduk, Siti Azielah Wahi, 38, melahirkan rasa kesal apabila dia kerugian lebih RM100,000 sekiranya pemaju hanya mahu membayar ganti rugi kelewatan projek sebanyak 15 peratus sahaja.

SPNB berkata, pihaknya sentiasa meletakkan keutamaan kepada kepentingan hak pembeli dengan penyiapan kediaman Aspire Residence walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum ini.

“Atas dasar tanggungjawab, sebelum ini SPNB telah melantik kontraktor penyelamat.

“Malah SPNB juga mengeluarkan perbelanjaan tambahan besar bagi menyiapkan projek ini.

“Namun kualiti pembinaan mematuhi piawaian ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Pada 25 September lalu, kediaman Aspire Residence memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

Sebahagian pembeli telah mula mengambil kunci rumah masing-masing bermula 24 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast