Alvin Chong

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Alvin Chong mencipta kejayaan apabila dinamakan sebagai duta  jenama terkemuka, Longines selama dua tahun berturut-turut.

Alvin juga baru-baru ini diumumkan sebagai duta jenama penjagaan muka berprestij La Mer.

Alvin mewakili Malaysia di Minggu Fesyen Milan (Milan Fashion Week) bersama Onitsuka Tiger pada Februari lalu.

Dia turut menghadiri pertunjukan ikonik dari Coach di Minggu Fesyen New York (New York Fashion Week) sebelum menghadiri pertunjukan fesyen dari Prada, BOSS, dan Onitsuka Tiger di Minggu Fesyen Milan pada September lalu.

“Ia merupakan impian saya untuk menghadiri Minggu Fesyen di New York dan Milan yang merupakan titik permulaan di mana kebanyakan trend dalam industri fesyen dilahirkan.

“Saya amat berbesar hati dan terinspirasi kerana dapat menyaksikan koleksi-koleksi terkini dari Coach, Prada, BOSS dan Onitsuka Tiger secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Alvin, perjalanan itu bukan sahaja pencapaian peribadi bahkan ia mampu mengangkat nama baik Malaysia di persada industri kreatif antarabangsa demi menjalin hubungan baik dengan jenama global gergasi dalam dunia fesyen.

“Peluang untuk mewakili Malaysia ini bukan sahaja merupakan suatu yang membanggakan malah saya juga bersyukur kerana berpeluang untuk berjumpa dengan ahli-ahli utama industri fesyen dari serata dunia,” tambahnya.

Alvin juga dinobatkan dengan anugerah McM Rising Star dalam kategori Most Promising Fashion Icon 2023 dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Pengiktirafan dari anugerah McM Woods Global ini merupakan satu pencapaian yang menakjubkan buat saya. Saya berharap agar pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk tetap mengejar impian mereka, walaupun ianya dirasakan mustahil dan apa yang penting adalah keberanian untuk mengambil langkah yang pertama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast