Fahmi melihat data sektor pertanian yang dikumpul DOSH di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap Kabinet dapat meluluskan kertas cadangan Banci Pertanian 2024 (BP 2024) supaya Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk penyediaan statistik dan penyusunan indikator pertanian.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, statistik itu penting bagi memastikan negeri juga tidak ketinggalan dalam revolusi pertanian selain mendapat gambaran jelas mengenai sektor itu.

Jelas beliau, dasar-dasar yang lebih tepat dapat dibentuk menerusi bancian tersebut sekali gus mengukuhkan keterjaminan makanan negara.

Fahmi Zainol.

“Kalau cakap tentang ekonomi sudah semestinya ia membabitkan data namun bagi sektor pertanian boleh kata ia dipinggirkan apabila kali terakhir kerajaan melaksanakan bancian pada 2005.

“Jadi hampir 18 tahun data ini tidak dikemaskini dan saya rasa keadaan kini sudah mendesak untuk DOSM melaksanakan bancian agar negara mempunyai statistik kerana pertanian ini merupakan industri penting bagi negara.

“Malah saya percaya menerusi bancian itu, kita dapat menjalin dan memperkukuh hubungan strategik antara agensi dengan komuniti pertanian sekali gus mengawal lambakan tanaman sama,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar statistik pertanian di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.

Fahmi (tengah) bergambar dengan ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan yang hadir pada seminar statistik pertanian di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal di sini.

Hadir sama, Pengarah DOSM negeri, Khairolnizam Hassan.

Seramai 300 peserta menghadiri seminar tersebut yang terdiri daripada agensi pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan serta pengusaha pertanian, koperasi terlibat pertanian.

Tambah Zainol, Pulau Pinang kini juga dalam perancangan mendigitalisasi semua bidang dalam agrotek untuk memajukan sektor pertanian ke arah moden selain memastikan keterjaminan bekalan makanan di negeri ini.

Sementara itu, Khairolnizam berkata, sebanyak 10,000 kediaman dianggarkan terbabit dalam BP 2024 di negeri ini yang akan dilaksanakan bermula Julai hingga September depan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengemas kini rangka dengan bergerak dari rumah ke rumah untuk mencari, mengenal pasti dan mengesahkan siapa petani yang berada di negeri ini sebagai persediaan pelaksanaan BP 2024.

Khairolnizam.

“Kalau ikut kepada saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) banci pertanian perlu dilakukan setiap 10 tahun tapi dalam tempoh sebelum ini kami bekerjasama dengan agensi pertanian selain mungkin ketika itu keperluan ada cuma belum betul-betul mendesak.

“Bagaimanapun, ketika ini keadaan sangat mendesak untuk kita mendapatkan statistik bagi membantu agensi pertanian dan juga penggubal dasar khususnya Kerajaan Persekutuan dan Negeri melihat serta memberi input dalam penggubalan dasar dan polisi,” katanya. – MalaysaiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast