DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengimportan beras adalah terkawal dan mengikut harga pasaran antarabangsa.
Beliau memberikan respons itu ketika diminta mengulas sama ada monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) terhadap pengimportan beras menjadi punca bekalan beras tidak mampu dibeli pengguna.
“Saya tak dapat pastikan… tapi soal monopoli beras ini sudah diputuskan dulu dan ditandatangani untuk 10 tahun.
“Jadi kita kena runding. Tetapi kita boleh teliti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menikmati makan tengahari di Ramli Corner Selera Kampung, di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, monopoli Bernas dalam pengimportan beras menjadikan punca bekalan beras tidak mampu dibeli pengguna.
Ketika muncul dalam satu rancangan bual bicara dengan sebuah laman portal, Ameer berkata, kerajaan mesti “memperuntukan sumber yang betul” untuk menguruskan kebimbangan keselamatan makanan negara.
“Jika anda benarkan saya import hari ini, kosnya RM32 bagi peket 10 kilogram, namun saya kena buat menerusi Bernas. Kos saya menjadi RM38. Mereka mengambil RM6 bagi 10 kilo.
“Siapa bayar ini? Penggunalah,” kata Ameer.
Justeru, beliau menyeru kerajaan menghapuskan monopoli dan membiarkan harga beras ditentukan kuasa pasaran. – MalaysiaGazette