SEPANG – Sepasang suami isteri dan seorang rakan sekerjanya masing-masing dari Johor dan Pahang antara mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar berjaya diselamatkan dan dibawa balik ke tanah air, hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa terpedaya tawaran pekerjaan dengan bayaran lumayan sebanyak RM15,000 sebulan.

Beliau berkata, ketiga-tiga rakan sekerja itu terpedaya melalui satu iklan yang disiarkan di media sosial iaitu Facebook sebagai pegawai Khidmat Pelanggan turut menawarkan bayaran komisen tinggi sehingga 25 peratus.

“Ketiga-tiga mangsa ini telah diterbangkan dari Johor, telah dibelikan tiket oleh pihak sindiket dengan tawaran kerja berjumlah RM15,000 sebulan.

“Mereka yang mengenali antara satu sama lain sanggup berhenti kerja di Singapura bila dengar tawaran RM15,000 di Thailand dan ada komisen 25 peratus setiap bulan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Dua (KLIA2), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama bekas Ketua Polis Negara yang juga Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan menyambut kepulangan ketiga-tiga mangsa penipuan pekerjaan itu di Balai Ketibaan KLIA2, kira-kira jam 5.15 petang tadi.

Sementara itu, wakil MHO, Azirul Shafiq yang menguruskan kepulangan rakyat Malaysia itu berkata, ketiga-tiga mangsa yang berusia 20-an dan 30-an itu sebelum itu dibawa ke Thailand dengan menaiki dua penerbangan.

“Mereka bertiga diterbangkan dari Johor terus pergi ke Thailand, ada dua penerbangan, satu dari Johor ke Bangkok, satu lagi dari Bangkok ke Chiang Rai (pada hari sama).

“Apabila tiba di Chiang Rai, mereka telah dibawa oleh Grab pergi ke Mae Sai, apabila tiba di Mae Sai, mereka ditidurkan dalam satu hotel satu malam,” katanya.

Keesokannya, ketiga-tiga mangsa didatangi dua motosikal untuk menjemput mereka sebelum dibawa ke tebing sungai di Taichileik, Myanmar, iaitu sempadan antara Mae Sai, Thailand dan Myanmar.

“Mereka juga tak tahu mereka akan dibawa ke Myanmar. Apabila mereka melintasi sungai itu, mereka dibawa oleh orang tempatan menaiki sebuah kenderaan dibawa ke satu stor atau bilik usang tempat transit.

“Ketika itu mangsa telahpun melihat keadaan berbeza, kalau tengok di Thailand, suasana jalan dan infrastrukturnya agak elok, apabila masuk ke satu kawasan selepas sungai, kawasan tersebut sangat kotor, suasana berbeza serta jalan yang agak teruk,” katanya.

Sangsi dengan keberadaan mereka, salah seorang mangsa terkejut apabila mendapati stor terbabit berada di dalam kawasan Myanmar selepas membuat semakan navigasi GPS di telefon pintarnya.

“Mangsa telah menghubungi MHO meminta bantuan dan saya juga telah mendapatkan lokasi di mana mereka ditempatkan, saya telah mengarahkan rakan-rakan di Taichileik, Myanmar untuk membawa mereka keluar.

“Berlaku pergelutan, orang yang menyimpan mereka telahpun cedera parah dipukul oleh beberapa individu dalam operasi tersebut.

“Mereka telah dibawa ke balai polis di Taichileik, Myanmar, pihak polis di sana berkompromi membenarkan mereka diserahkan kepada NGO tempatan untuk proses membawa keluar dan seterusnya ke Bangkok.

“Hasil daripada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan di sana dan Mae Sai dan Bangkok, ketiga-tiga berjaya pulang ke tanah air tanpa ada sebarang masalah,” katanya.

Selain itu, ketiga-tiga mangsa tidak sempat memulakan tugas sebagai khidmat pelanggan di Bangkok dan mereka diselamatkan hanya dalam tempoh tiga jam selepas lokasi mereka ditemui pasukan MHO.

“Bagasi mereka semua telah dirampas, nasib baik pasport ada, berlaku bergelutan dan mereka berjaya mendapatkan pasport, kalau tidak memang tak boleh masuk Thailand.

“Mereka masuk Bangkok secara sah, semua mangsa yang kami selamatkan tidak ada satu pun perjalanan ke Myanmar, mereka semua diperdaya oleh sindiket untuk bekerja di Bangkok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast