Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan para jemaah sebelum menunaikan solat jumaat di Masjid As-Shariff Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 27 OKTOBER 2023.

DENGKIL – Malaysia tetap dengan pendirian untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin yang kini sedang menghadapi kekejaman rejim Zionis Israel di Tebing Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak akan ambil peduli terhadap keputusan-keputusan lain yang diambil oleh Barat berhubung isu membabitkan rakyat di Palestin.

“Kita tak peduli apa keputusan yang lain. Tapi pendirian kita ialah hak rakyat Palestin mesti diberi.

“Ya soal tanah dia, harta dia, maruah dia…tapi yang segera ialah menghentikan serangan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan. Itu keutamaan kita sekarang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menikmati makan tengahri di Ramli Corner Selera Kampung di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai pendirian Malaysia selepas adanya gesaan terhadap resolusi konflik Palestin dan Israel.

Semalam, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sekali lagi gagal mengambil tindakan ke atas konflik Israel-Palestin walaupun krisis kemanusiaan semakin meruncing di Semenanjung Gaza, Palestin itu.

Rusia dan China semalam menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Amerika Syarikat (AS) yang menggesa ‘jeda kemanusiaan’ untuk membenarkan akses bantuan kemanusiaan, perlindungan orang awam dan menghentikan aktiviti senjata Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Semenanjung Gaza.

Resolusi saingan yang diketuai Moscow gagal mendapat sokongan mencukupi. AS sekutu rapat Isreal menggunakan kuasa vetonya minggu lalu selepas diplomat menyatakan terkejut dengan kegagalannya mengiktiraf krisis kemanusiaan dan kenyataan berani Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri.

Sementara itu, ditanya berkenaan cadangan untuk memboikot Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama dengan OIC ataupun Liga Arab, Perdana Menteri berkata, Malaysia sentiasa mengadakan rundingan dengan kedua-dua pihak berhubung isu Palestin.

“Kita sekarang sedang bekerjasama dengan OIC, Liga Arab…tiap-tiap hari ada rundingan perkembangan semasa.

“Tapi, keutamaan kebanyakannya ialah kemanusiaan dan menghentikan serangan. Itu keutamaan negara Islam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast