GAZA CITY – Malapetaka besar menimpa rakyat Palestin apabila 7,028 nyawa telah diragut oleh rejim zionis Israel sepanjang serangan berterusan sejak 20 hari lalu.
Menteri Kesihatan Gaza telah mengeluarkan senarai nama 6,747 mangsa yang maut dalam bencana kemanusiaan yang dicipta oleh Israel.
Senarai tersebut turut mengandungi umur, jantina dan nombor pengenalam setiap mangsa yang terbunuh termasuk 2,665 kanak-kanak.
Manakala nama 281 orang lagi yang terkorban tidak dapat dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan 7,028 orang sejak kekejaman tercetus pada 7 Oktober lalu.
Jumlah yang tidak dapat dikenal pasti itu termasuk mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan bangunan yang dibom oleh Israel.
Duta Besar Palestin, Riyad Mansour dalam ucapan penuh emosi kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khamis lalu menggesa agar serangan tidak berperikemanusiaan Israel dihentikan serta-merta.
Malam tadi, rakyat Palestin sekali lagi berhadapan serangan maut Israel dengan penduduk melaporkan mendengar tembakan dan melihat api bom di Beit Hanoun, Rafah dan Kem Pelarian Bureij.
Kekejaman Israel telah mengakibatkan 18, 484 cedera dan 1.5 juta kehilangan tempat tinggal dan menjadi pelarian.
Sekurang-kurangnya 190,000 bangunan temasuk rumah, hospital, masjid dan gereja telah dimusnahkan oleh Israel.- Agensi