Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Bertopengkan syarikat koperasi berstatus berhad tetapi disyaki menjadi dalang penipuan membina rumah kediaman lengkap siap dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun difahamkan setelah mengambil puluhan ribu ringgit, tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk menyiapkan rumah mangsa dan menghilangkan diri begitu sahaja.

Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim  mendedahkan, setakat ini, pihaknya sudah menerima 90 aduan daripada mangsa dan yakin jumlah itu sebenarnya sudah mencecah angka ratusan kes.

Kata Hishamuddin, syarikat yang berpengkalan di Sarawak itu namun aktif di Lembah Klang dan seluruh negara itu giat mencari mangsa di seluruh negara sejak 2019.

Modus operandi syarikat itu ialah menawarkan beberapa pakej antaranya pelaburan bagi individu mempunyai tanah sendiri dan pakej berbeza untuk mereka yang tidak memiliki tanah.

“Jika ianya membabitkan pemilik tanah mereka akan diminta bayar sehingga RM100,000 dan dijanjikan sebuah kediaman dalam tempoh beberapa bulan tetapi tanah itu tetap terbengkalai. Mereka akan buat kerja pembinaan untuk beberapa hari sebelum hilang begitu sahaja.

“Mana-mana mangsa yang tiada tanah pula, mereka diberikan paket pelaburan yang akhirnya menjanjikan sebuah rumah tetapi tidak diberitahu di mana lokasi, mangsa hanya sedar selepas beberapa lama.

“Inilah manusia yang langsung tidak bertanggungjawab kerana menggunakan koperasi dan syarikat berhad untuk menipu, mengaburi umum. Paling kasihan apabila mangsa dalam kalangan pesara yang mengunakan wang simpanan puluhan tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat aduan kepada dan menyerahkan memorandum kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman di sini hari ini.

Hishamuddin melahirkan harapan tinggi supaya pihak berwajib dapat mengambil tindakan tegas terhadap syarikat ini daripada terus menipu masyarakat umum secara terang-terangan.

“MHO memohon pihak polis khususnya JSJK memberi perhatian kepada isu ini berikutan sudah banyak mangsa yang tampil. Kita buat anggaran kerugian lebih RM20juta setakat ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast