KUALA LUMPUR – Wanita meninggal dunia dalam kejadian langgar lari di di Kilometer 18.6 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12.36 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian wanita berusia 58 tahun itu membonceng suaminya dalam perjalanan ke Lembah Subang dari Batu Tiga.
Dalam perjalanan itu, motosikal yang ditunggang suaminya, 76, dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang kemudian terus melarikan diri.
“Pada hari ini jam lebih kurang 1.05 pagi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya telah menerima satu laporan polis berkenaan kemalangan maut jalan raya di daerah berkenaan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Sport dan sebuah motokar nombor pendaftaran tidak pasti,” katanya menerusi kenyataan.
Fakhrudin berkata, akibat kemalangan tersebut suami wanita itu kini mengalami cedera parah sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohammad Najib Mohd Azaman di talian 012-3526147 bagi membantu siasatan.
Kata Fakhrudin lagi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette