Biji-biji koko digoreng di dalam mesin.

BINTULU – Kira-kira 3,200 tan metrik pengeluaran biji koko kering setahun diperlukan bagi menampung permintaan pasaran domestik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada tahun 2022 negara telah mengeluarkan sebanyak 493 tan metrik biji koko kering bagaimanapun jumlah itu tidak masih belum mencukupi.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata peningkatan permintaan itu juga disebabkan oleh pertambahan syarikat-syarikat yang menghasilkan coklat di peringkat domestik.

“Pengusaha chocolatier tempatan telah bertambah tetapi bekalan koko di Malaysia adalah rendah. Kebanyakan daripada mereka perlu mengimport daripada negara-negara Afrika.

“Ini bermakna industri koko ini sangat berpotensi kerana permintaan yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Roadshow Tanaman Koko dan Demonstrasi Coklat Buatan Tangan di sini, hari ini.

Fadillah berkata buat masa ini kerajaan sedang menggalakkan penanaman koko di peringkat komuniti termasuk di kawasan kampung.

“Misalnya di peringkat kampung mereka boleh mengenal pasti satu kawasan untuk penanaman dan menubuhkan satu koperasi. Koperasi ini nanti yang akan bertanggungjawab mengumpul hasil koko dan menjalankan proses untuk dikeringkan dan dijual,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada acara itu, Fadillah berkata keluasan tanaman koko negara adalah seluas 5,985 hektar dan daripada jumlah itu 1,454 hektar adalah diusahakan di Sarawak.

Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei. katanya. – BERNAMA