Anak sulung arwah, Muhammad Nu'man berusia 6 tahun menyertai solat jenazah ke atas arwah bapanya Muhammad Izzat di Kuantan .

KUANTAN – Kerajaan negeri berhasrat membiayai kos pendidikan kedua-dua anak mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang meninggal dunia di Taichileik,  Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab di Myanmar 14 Oktober lalu.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, kos pendidikan itu akan ditanggung sehingga mereka melanjutkan pendidikan di menara gading.

“Kerajaan akan memberi bantuan perseolahan Muhammad Nu’Man dan Muhammad Anaqi pengajian sehingga masuk universiti.

“Kami cuba bantu dari perbelanjaan sekolah kepada dua-dua orang anak arwah Muhammad Izzat,” katanya di sini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pahang memberi bantuan sebanyak RM25,000 bagi membawa balik  jenazah arwah dari Myanmar untuk dikebumikan di tanah air.

Muhammad Izzat meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Taichileik selepas diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar. – MalaysiaGazette