KUANTAN – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu ditukar selepas kuasa dunia itu gagal memainkan peranan menyelesaikan pergolakan di Palestin.
Sejak tahun 1948 sehingga kini bumi Palestin masih dicabuli oleh tentera Zionis Israel, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“PBB gagal memainkan perananya kerana sehingga hari ini masih gagal memutuskan gencatan senjata di Semenanjung Gaza. Oleh itu, fungsi PBB wajar ditukar,” katanya ketika berucap Himpunan Pahang For Palestin di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada hari ini.
Lebih 6,000 warga Pahang menyertai perhimpunan berkenaan sebagai simbolik melahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Israel.
Menurutnya, Pahang tidak pernah jemu dan penat untuk membantu Palestin.
“Hampir 8,000 telah terkorban tapi sehingga hari ini perang masih berlaku. Bekalan air dan elektrik diputuskan, akses internet juga diputuskan, bekalan makanan dihalang.
“Oleh itu, kita perlu menentang dan menghalang usaha Israel yang cuba melenyapkan Palestin sejak tahun 1948 dengan harapan mahu mengambil alih Palestine,” ujarnya.
Pahang bependirian teguh berdiri bersama Palestin dan akan terus membantu negara itu.
Dalam pada itu, Pahang berjaya mengutip RM110,000 menerusi Tabung Palestin 2.0 yang telah dilancarkan baru-baru ini.
Tabung berkenaan dibuka kepada seluruh rakyat Pahang, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu berjaya menyumbang menyumbang RM700,000 pada Tabung Palestin 1.0. – MalaysiaGazette
















