Projek pembinaan plaza tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands.

KUALA LUMPUR – Pembinaan plaza tol di jalan menaiki Genting Highlands menerusi Gohtong Jaya bukan projek di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Ia kerana, laluan itu bukan jalan yang diwartakan sebagai jalan persekutuan, kata LLM dalam kenyataan di sini.

Sebaliknya, jalan tersebut adalah merupakan jalan persendirian dan tidak berkaitan dengan Lebuhraya bertol Kuala Lumpur – Karak (KL-Karak).

Sebelum ini tular mengenai pembinaan struktur plaza tol di Genting Highlands berhampiran bulan besar Gohtong Jaya.

Susulan daripada posting berkenaan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak berkaitan projek pembinaan plaza tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands.

Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata, pembinaan itu dibuat di atas tanah persendirian dan berkemungkinan pihak berkenaan berasakan tidak perlu membuat permohonan kepada kerajaan Pahang, Kementerian Kerja Raya (KKR) atau LLM.

“Tanah itu adalah tanah persendirian namun sebarang pembinaan masih tertakluk kepada undang -undang.

“Ingin ditegaskan pembinaan plaza tol itu tidak ada kena mengena dengan LLM dan LLM juga tidak pernah menerima apa-apa permohonan berkaitan pembinaan itu,” katanya baru-baru ini.

Manakala Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, projek pembinaan rumah tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands tidak dimaklumkan kepada LLM dan KKR.

“Saya telah mendapat pengesahan bahawa usaha pembinaan plaza tol di kawasan tersebut tidak melibatkan dan tidak dimaklumkan kepada LLM dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Walau bagaimanapun, sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian haruslah mendapat Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya. – MalaysiaGazette