Anthony Loke pada sesi bergambar di Konvensyen Tahunan DAP Perak Ke-22, di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh.

IPOH – Kementerian Pengangkutan akan mengguna pakai model kerjasama dengan pihak swasta bagi membangun serta menaik taraf lapangan terbang yang kurang berdaya saing di negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata menerusi kaedah Kerjasama Awam-Swasta atau Public-Private Partnership (PPP) itu, semua lapangan terbang mampu dinaik taraf dalam keadaan kerajaan berhadapan dengan kekangan kewangan.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan sudah berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku kumpulan operator terbesar yang mengendalikan lapangan terbang di negara ini untuk melihat kepada kaedah usaha itu.

“Jika dilihat pada model sebelum ini ia tidak berekonomi terutama kepada lapangan yang tidak berdaya saing dan tidak mempunyai banyak penerbangan. Jadi MAHB tidak akan melabur untuk menaik taraf mana-mana lapangan terbang sehingga mendapat peruntukan kerajaan.

“Tetapi dengan keadaan kekangan kewangan di peringkat persekutuan, kita perlu mencari kaedah baru iaitu melalui kaedah PPP untuk kita menaik taraf lapangan-lapangan terbang itu.

“Dan dengan usaha ini juga mungkin ada pihak-pihak (swasta yang melabur itu) merasakan mereka ada idea atau cara terbaik untuk usaha berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak Ke-22, di Hotel Kinta Riverfront di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman.

Sesi bergambar di Konvensyen Tahunan DAP Perak Ke-22, di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. foto MG PERAK/

Selain itu Loke menjelaskan walaupun model kerjasama itu melibatkan pihak swasta namun mereka masih terikat dengan terma dan syarat tertentu dalam mengendalikan lapangan terbang yang terbabit.

Mengulas lanjut beliau berkata Kementerian Pengangkutan telah menerima permohonan daripada Kerajaan Perak berhubung cadangan menaik taraf terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini.

Katanya terdapat pihak swasta yang ada menyatakan minat mereka untuk melabur di lapangan terbang berkenaan dan kementerian pula bersedia untuk merealisasikan projek yang sudah berada dalam ‘radar’ itu.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis Loke berkata baru-baru ini pihaknya ada mengadakan pertemuan dengan Syarikat Penerbangan Scoot bagi menambah jumlah perbangan LTSAS khususnya pada hujung minggu dan musim perayaan. -MalaysiaGazette