KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin UMNO menggesa supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pelaksanaan “Minggu Solidariti Palestin” meskipun ada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang membantah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, KPM tidak sepatutnya membatalkan program itu hanya kerana kontroversi penggunaan replika senjata di sekolah.
“Kerana nila setitik ada pihak dan individu ambil kesempatan desak KPM batalkan minggu ‘Solidariti Palestin’ yang bermula esok. KPM tidak wajar tunduk kepada desakan itu.
“Ternyata insiden pelajar sekolah bawa senjata mainan dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan (29 Okt-3 Nov) dan tidak patuh garis panduan ditetapkan.
“Di saat seluruh negara dan dunia mengecam kekejaman Israel maka tidak ada sebab semua peringkat rakyat Malaysia bersolidariti dengan rakyat Palestin yang juga ternafi hak pendidikan berkualiti,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Semalam wakil rakyat PH terus menyuarakan “rasa kurang senang” terhadap penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah.
Dalam satu kenyataan bersama, 12 wakil rakyat PKR menggesa KPM mengkaji semula penganjuran program itu.
Alasan mereka sekolah dan institusi awam sewajarnya bebas daripada unsur dendam dan keganasan. – MalaysiaGazette