Antara pelajar yang mengibarkan bendera Palestin selepas menunaikan solat Dhuha dan Hajat sempena Program Solidariti Palestin di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 (SKPA2). Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2023.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan wakil rakyat PKR yang sebelum ini menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji penganjuran Minggu Solidariti Palestin mendakwa kenyataan media mereka telah disalah tafsir.

Seramai 12 wakil rakyat terbabit menegaskan, mereka mendokong sepenuhnya pendirian kerajaan menentang kezaliman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurut mereka, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berniat jahat dan dangkal apabila mendakwa mereka membawa naratif yang sama dengan propaganda media Barat.

“Ia juga mencerminkan pendekatan politik sempit beliau iaitu sebarang cadangan konstruktif akan dilabelkan sebagai pendokong pihak lain.

“Momokan ini tidak membantu dalam meraih sokongan semua lapisan masyarakat untuk menyokong perjuangan Palestin. Perjuangan Palestin bukan perjuangan agama sahaja tetapi juga merupakan perjuangan kebebasan dan hak rakyat yang tertindas.

“Maka penting untuk kita mewujudkan wacana yang konstruktif supaya dapat memperluaskan sokongan daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia dan peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Mereka melahirkan rasa hairan Takiyuddin yang tidak pernah memuji tindakan kerajaan dalam menangani kezaliman Israel di Parlimen tiba-tiba cuba mencetuskan polemik dengan dakwaan yang tidak berasas.

Sementara itu, kumpulan itu berpendapat, sudah tiba masa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi terhadap Israel berikutan kekejaman terhadap Palestin.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Ahli Parlimen Gopeng; Tan Kar Hing, Ahli Parlimen Petaling Jaya; Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Miri; Chiew Choon Man.

Turut bersama ADUN Kebun Bunga; Lee Boon Heng, ADUN Rawang; Chua Wei Kiat, ADUN Semanbu; Chan Chun Kuang, ADUN Simpang Pulai; Wong Chai Yi, ADUN Chuah; Yew Boon Lye, ADUN Bukit Tambun; Goh Choon Aik, ADUN Kajang; David Cheong Kian Yong, ADUN Bukit Batu; Arthur Chiong Sen Sern dan ADUN Bakar Arang; Adam Loh Wei Chai.

Kumpulan itu sebelum ini meminta Minggu Solidariti Palestin perlu dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur dendam, kebencian dan keganasan.

Bagaimanapun gesaan tersebut dikritik termasuk oleh Takiyuddin yang menegaskan, perkataan seperti dendam, kebencian dan keganasan sebagai asas kebimbangan bukan sahaja terdedah kepada salah anggap.

Malah dakwanya ia kelihatan seperti mahu melanjutkan lagi naratif dakyah dan prasangka yang dijuarai oleh media Barat serta pihak yang menyokong Israel.- MalaysiaGazette