Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid
Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Setelah mencetuskan fenomena dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) akhirnya membuat kemunculan di Dewan Rakyat.

Perkara itu diumumkan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) semasa bangun mendapatkan jawapan soalan lisan kelima, hari ini.

“Nak pantun sikit untuk kawan baru, balik Tebrau pergi pasar selamat balik Kuala Kangsar,” kata Puah Wee Tse, hari ini.

Iskandar Dzulkarnain sebelum ini menimbulkan tanda tanya apabila mengeluarkan kenyataan pada 12 Oktober lalu menyatakan sokongan menyokong Anwar.

Beliau yang masih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan itu diambil kerana tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terbiar dan ketinggalan semata-mata perbalahan naratif politik.

Bersatu yang bermesyuarat pada malam Khamis memutuskan untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kedudukan Iskandar Dzulkarnain dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Lembaga Disiplin parti telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan media lewat malam Khamis lalu. – MalaysiaGazette