Wan Saiful Wan Jan. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji secara automatik pernah diketengahkan bekas Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, cadangan menerusi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) pernah diketengahkan beliau pada Disember 2018 dan telah mendapat bantahan daripada Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ketika itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Pengumuman Perdana Menteri pada 23 Oktober 2023 sebenarnya mengulangi model bayaran balik yang telah saya umumkan pada 2018.

“Anwar dan Akmal Nasir (Ketua AMK ketika itu) memberikan tekanan kepada saya kerana mereka tidak bersetuju dengan skim potongan gaji berlandaskan ICLR yang saya umumkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Wan Saiful berkata demikian mengulas kenyataan Anwar bahawa kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui pemotongan gaji secara automatik menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah satu cadangan praktikal.

Cadangan dikemukakan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) itu juga dilihat tidak membebankan peminjam.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mencadangkan agar kerajaan mengembalikan fungsi PTPTN sebagai agensi tabungan pendidikan selain menubuhkan jawatankuasa pelaburan untuk melabur dalam pasaran berkepulangan tinggi.

“Beri lebih banyak inisiatif untuk menabung, bentuk jawatankuasa pelaburan dianggotai profesional dan benarkan PTPTN melabur baik di dalam mahupun di luar negara.

“Selain itu, muktamadkan kaedah bayaran balik PTPTN yang tidak membebankan peminjam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast