KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia sedang giat bekerjasama dengan pemain industri untuk memupuk ekosistem pembangunan modal insan tempatan yang memberangsangkan di negara ini.
Menterinya, V. Sivakumar berkata, usaha itu memerlukan sokongan kerana ia merupakan langkah penting bagi memacu aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.
Jelas beliau, untuk mencapai matlamat itu, negara tidak mampu kehilangan kumpulan bakat mahir kerana ia akan menyebabkan kekurangan prospek kerjaya yang baik dan ekosistem pembangunan modal insan yang ketinggalan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah berdepan pengalaman yang tidak menentu. Bagaimanapun, kita juga telah menjadi lebih berdaya tahan sebagai satu negara. Ini telah meletakkan asas kepada kerajaan dalam mempercepatkan lagi pertumbuhan masa depan yang mampan.
“Tempoh pemulihan ekonomi yang mampan ini mencerminkan tahap rendah dalam kadar pengangguran di mana Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar pengangguran negara menurun kepada 3.5 peratus pada suku pertama tahun ini.
“Ini adalah peningkatan yang tinggi melebihi 4.1 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan & Pameran Modal Insan Negara (NHCCE) 2023 di Pusat Dagangan Dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenaan merasmikan majlis tersebut.
Turut hadir, Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, kerja keras kerajaan tidak akan berakhir di sini dan telah mengenal pasti isu kritikal yang dihadapi rakyat dengan berkesan dan melaksanakan inisiatif komprehensif dengan lebih pantas.
Jelas beliau, kementerian turut mengambil maklum bahawa agensi di bawahnya komited menunaikan amanat dengan bersungguh-sungguh antaranya agensi berprestasi tinggi seperti HRD Corp.
Menurutnya, agensi itu telah menunjukkan komitmen yang luar biasa apabila mewujudkan perkongsian dengan organisasi dan individu daripada sektor swasta untuk mendekati lebih ramai rakyat Malaysia.
“Dengan bersatu, kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk pembangunan negara yang tercinta. Itulah sebabnya saya yakin inisiatif seperti NHCCE 2023 akan menjadi titik perubahan dalam memartabatkan Malaysia dalam pembangunan modal insan.
“Dengan penceramah terkemuka mengetuai perbincangan untuk menentukan wacana pembangunan modal insan, saya berharap perwakilan kita merebut peluang ini untuk meluaskan pandangan mereka dan ia menjadi lebih menyeluruh kepada pemilik perniagaan, pemimpin industri, profesional sumber manusia dan banyak lagi.
“Oleh itu pada penghujung persidangan ini, saya yakin semua peserta akan menjadi agen perubahan dan pertumbuhan dalam organisasi masing-masing, industri dan juga negara.
“Bagi pihak Kementerian Sumber Manusia, saya ingin mengulangi komitmen kami untuk menyokong dan menerajui inisiatif yang akan memberi manfaat kepada pembangunan modal insan tempatan.
“Ini adalah kerana kami percaya ekosistem sumber manusia tempatan yang kukuh dan dinamik merupakan tunjang kepada kemakmuran sesebuah negara,” katanya.
Sementara itu, berlangsung selama dua hari bermula hari ini, NHCCE 2023 merupakan kesinambungan kejayaan NHCCE 2022 yang menerima sambutan luar biasa daripada delegasi dari rantau Asia Tenggara.
Dengan tema baharu, ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’, NHCCE 2023 bertujuan membantu organisasi dan para pengamal sumber manusia berada di hadapan tuntutan yang sentiasa berubah dalam tempat kerja moden.
Ini adalah penting kerana organisasi di Malaysia dan Asia Tenggara menghadapi pelbagai gangguan dalam membentuk dinamik tempat kerja.
Mengambil langkah lebih proaktif, NHCCE 2023 menampilkan rangkaian penceramah yang unggul dengan lebih daripada 30 pemikir terkemuka dalam bidang modal insan dunia, pengamal sumber manusia yang berfikiran progresif, serta pakar subjek. – MalaysiaGazette