KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai memukul dan mencederakan seorang pemandu lori sampah di Jalan 6, Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, di sini semalam.

Kejadian itu tular di media sosial.

Dalam rakaman video tersebut, lelaki berpakaian hitam itu didapati memarahi pemandu sambil mengetuk pintu lori berkenaan.

Pada satu peringkat dia kelihatan memanjat tayar depan lori dan menggunakan kayu memukul pemandu tersebut.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku selepas polis menerima aduan daripada pemandu lori berusia 37 tahun.

Mangsa mendakwa dipukul dan diugut suspek tidak dikenali semasa sedang memandu lori untuk mengutip sampah di kawasan tersebut.

Siasatan awal yang dijalankan mendapati kenderaan suspek menghalang laluan lori sampah dan mangsa telah membunyikan hon untuk meminta lelaki tersebut mengalihkan keretanya.

“Lelaki itu tiba-tiba bertindak agresif dengan datang ke arah mangsa yang berada di dalam lori dan memarahinya dengan kata-kata kesat serta mengugut dan memukulnya menggunakan kayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami kecederaan pada tangan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam namun dibenarkan pulang.

Kes disiasat di bawah seksyen 324/506 Kanun Keseksaan dan memohon mana-mana individu yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette