Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mencuba alat komunikasi semasa melawat Kapal Maritim Arau selepas melancarkan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Sabah Port, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mahu pasukan dan agensi keselamatan negara meningkatkan operasi secara bersama bagi menangani pelbagai aktiviti jenayah di darat dan laut di negeri ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perairan Sabah yang luas serta bersempadan dengan negara jiran, boleh mengundang pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, rokok dan barangan bersubsidi.

Katanya walaupun situasi tersebut itu memberi pelbagai cabaran namun beliau percaya kerjasama pasukan dan agensi keselamatan negara seperti Maritim Malaysia, polis dan tentera mampu mematahkan aktiviti jenayah itu.

“Saya berharap latihan bersepadu dalam operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara dipertingkatkan,” katanya berucap merasmikan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di sini hari ini.

Mengulas eksesais itu, Hajiji berkata ia dapat meningkatkan lagi kecekapan Maritim Malaysia dalam membantu mengawal keselamatan di perairan negara khususnya di Sabah.

“Kerajaan negeri amat menghargai usaha Maritim Malaysia dan bersedia memberi kerjasama dalam apa jua perkara dan menjadikan agenda utama dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara, khususnya di Sabah terjamin,” katanya.

Katanya Eksesais Maritim Perkasa Timur yang bermula 28 Okt hingga 4 Nov merupakan gabungan elemen dalam mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia.

Hajiji berkata ia juga untuk menguji kecekapan pegawai dan anggota terlibat dalam merancang, melaksanakan eksesais serta operasi sebenar pada masa akan datang disamping memperagakan kehadiran di Laut China Selatan khususnya di perairan Sabah.

Beliau berkata eksesais itu juga berteraskan konsep elemen cegah rintang yang merupakan satu daripada teras strategik maritim melalui pencegahan pelanggaran undang-undang di laut dengan menunjukkan kehadiran aset-aset Maritim Malaysia Di Zon Maritim Malaysia.

“Eksesais ini dilaksanakan merangkumi perairan Kota Kinabalu dan Gugusan Semarang Peninjau di perairan negeri Sabah, Beting Patinggi Ali, Hampasan Dang Ajar dan Beting Raja Jarum hingga ke Perairan Kuching di perairan Negeri Sarawak,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast