Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin sewaktu Sidang Media Pemakluman Majlis Konvokesyen UTeM, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Konvo TUAH Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 2023 (TCF-19) yang bermula secara sepenuhnya pada 3 hingga 6 November ini bertempat di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal di Melaka.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, TCF-19 diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen UTeM ke 19 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 November.

Pada majlis konvokesyen UTeM ke 19 kali ini seramai 3,378 orang graduan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah akan diraikan di samping 68 peratus daripada jumlah itu merupakan graduan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.

“Sehubungan itu pelbagai program menarik telah disusun dan dijayakan menerusi TCF-19 dengan gabungan pelbagai konsep menarik yang tentunya menjadi tarikan orang ramai serta para pengunjung nanti dan masuk adalah percuma.

“Pihak UTeM amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai di sekitar negeri Melaka dan juga para pelancong yang datang ke Melaka agar singgah di kampus induk UTeM bersama kami mengikuti pelbagai pengisian dan program menarik di samping kemeriahan di sini,” ujar beliau sewaktu Sidang Media Pemakluman Majlis Konvokesyen UTeM baru-baru ini.

Mengulas lengkap dari aspek pengisian TCF-19, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, lebih daripada 30 program dan aktiviti akan dijalankan bersempena dengan Pesta Konvo TUAH UTeM 2023 (TCF-19).

“Antara aktiviti menarik pada TCF-19 UTeM kali ini adalah Advanced TVET Career Fair UTeM @ MyFutureJobs, TUAH Jaguh Joran, Taxplorace Hasil Your Tax Buddies.

“Perlawanan Bola Sepak Amal Untukmu Palestin, Forum Perdana, TUAH Arena National Championship yang merupakan pertandingan e-sport peringkat kebangsaan, dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Beliau berkata, lebih menarik lagi TCF-19 kali ini akan membawa selebriti dakwah terkenal tanah air iaitu PU Rahmat dan PU Yeop, menjemput influencer terkenal iaitu Ardell Aryana, Inche Lebah, dan turut menampilkan Artis IAmNeeta, UNIC dan barisan artis terkenal di bawah Warner Music Malaysia.

Mengulas lanjut beliau berkata, TCF-19 UTeM turut mendapat kerjasama baik dari rakan agensi kolaborasi seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Women Leadership Foundation, Lembaga Hasil Dalam Negeri, PERKESO dan lain-lain.

Majlis perasmian TCF-19 akan diadakan pada 3 November 2023 (Jumaat) nanti jam 3.00 petang dan akan dirasmikan oleh Pro Canselor UTeM, Tan Sri  (Dr.) Halim Saad.

Dijangkakan seramai lebih 10,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negeri Melaka akan berkunjung ke Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal bagi Majlis Konvokesyen ke 19 UTeM dan TCF-19 pada hujung minggu ini. – MalaysiaGazette