BATU PAHAT – Seorang pemandu lori tidak mengaku bersalah mengakibatkan kematian seorang pelajar sekolah menengah dalam kejadian di Kilometer 13.5 Jalan Batu Pahat – Kluang Rabu lalu.
Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Norazwan Ismail, 33, di hadapan Majistret Nurasidah A.Rahman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 .
Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak lebih daripada RM50,000 serta lessen memandu diendoskan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam S.Thamarah.
Mahkamah menetapkan 30 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diarah melaporkan diri dibalai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai selain menyerahkan pasport miliknya.
Dalam kejadian pada jam 7.20 pagi itu , mangsa, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori yang membuat pusingan U.
Semasa kejadian, mangsa, Shahrunizam Mohd Shamsul, 17, dalam perjalanan ke sekolah dari kediamannya di Parit Sulong, cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.- MalaysiaGazette