KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Kumpulan Wang Simpanan (KWSP), dan Kumpulan Wang Persaraan [Diperbadankan] (KWAP) melabur dalam aset industri berteknologi tinggi di Kulim II dengan jumlah nilai pelaburan RM2 bilion.
Ketiga-tiga entiti itu telah menandatangani perjanjian penjualan dan pajakan balik dengan Osram Opto Semiconductors Sdn Bhd, Osram Opto yang merupakan anak syarikat domestik milik penuh Osram AG, sebuah syarikat berpangkalan di Austria.
Syarikat itu terkenal dengan kepakarannya dalam penderia pintar dan pemancar.
Urus niaga penjualan dan pajakan balik dijangka dimuktamadkan pada Disember 2023 dengan ketiga-tiga entiti itu masing-masing menguasai 33.3% pegangan secara sama rata.
Urus niaga itu menawarkan peluang unik untuk PNB, KWSP, dan KWAP untuk melabur dalam kualiti yang tinggi dan aset sebenar industri berspesifikasi tinggi di Malaysia yang memberikan pulangan yang kompetitif.
Dalam kenyataan hari ini, PNB berkata, pelaburan itu untuk tempoh 10 tahun dengan strategi keluar yang jelas.
“Selain itu, pelaburan ini menjadi pemangkin pelaburan langsung asing dengan membolehkan rakan kongsi menggunakan lebih banyak modal di Malaysia.
“Ini sejajar dengan salah satu matlamat Rangka Kerja Ekonomi Madani, yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan daya saing global, menghasilkan pelaburan pertumbuhan berimpak tinggi untuk negara,” kata ketiga-tiga entiti itu dalam kenyataan bersama hari ini.
Ia juga selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) untuk memajukan ekonomi.
Tambah mereka, suntikan modal ke dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) ini membolehkan Osram menubuhkan kemudahan pembuatan LED 8-inci dan mikro LED automatik yang pertama di dunia.
Kemudahan itu akan memaju pembangunan ekosistem dengan menyokong aktiviti bernilai tambah tinggi seperti fabrikasi semikonduktor.
Ia selaras dengan visi Malaysia untuk menjadi hab pembuatan berteknologi tinggi terkemuka yang akan meremajakan jenama ‘Buatan Malaysia’.
Produk Osram yang dikeluarkan di Kulim II juga akan menyumbang kepada matlamat negara untuk mengembangkan eksport pembuatan berteknologi tinggi dan mewujudkan kehadiran global, sekali gus mengukuhkan peluang pekerjaan tambahan di negara ini dalam bidang sains dan semikonduktor berteknologi tinggi,” katanya PNB, KWSP dan KWAP. – MalaysiaGazette