KUALA SELANGOR – Seramai kitra-kira 1,300 pelajar Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 hari ini menunaikan solat hajat untuk Palestin.
Guru Besar sekolah tersebut, Ahmad Badrul Amin Mohd Saibani berkata, ia merupakan salah satu pengisian yang dianjurkan sempena pelaksanaan program Minggu Solidariti Palestin.
“Bermula 8 pagi tadi, beberapa aktiviti kita lakukan selain menunaikan solat hajat, sebelum itu solat dhuha. Selaras dengan pelaksanaan yang diumum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini, ini simbolik kita menyokong perjuangan saudara kita di Palestin,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas beliau, bukan hanya murid-murid malah para guru juga terlibat dengan pengisian program yang bermula Ahad sehingga 3 November ini.
Menurut Ahmad Badrul, aktiviti berkonsepkan kemanusiaan akan diteruskan pada hari berikutnya seperti berdoa, berzikir, berselawat dan memasang lagu-lagu nasyid.
Dalam masa yang sama katanya, murid-murid akan didedahkan dengan sejarah Palestin.
“Kita juga memberi pengenalan terhadap pelajar tentang Palestin, sejarahnya. Yang penting apa juga kesedaran ini tidak boleh keterlaluan sehingga mencetuskan provokasi, itu yang kita tidak terapkan,” ujarnya lagi.
SK Puncak Alam 2 terdiri mempunyai 2,876 murid sesi pagi dan petang selain seramai 137 orang guru. – MalaysiaGazette