Dr Zaliman Sauli menyerahkan surat tawaran pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kejuruteraan kepada Muhammad Fuzail Mohd Mohiddeen di di kediaman keluarganya.

PAUH PUTRA – Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) pendengaran berjaya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kejuruteraan selepas menerima tawaran dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Khamis lalu.

Muhammad Fuzail Mohd Mohiddeen, 24, hilang pendengaran sejak berusia 13 tahun telah berusaha memohon pelbagai universiti selepas menghabiskan pengajian diploma namun tidak berjaya.

Namun, beliau berusaha memohon ke UniMAP dan berjaya.

Muhammad Fuzail merupakan lepasan Diploma Logistik dari Politeknik Seberang Prai sebelum in terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pengajian selepas menjalani pembedahan implan koklea pada 2022 di samping rawatan susulan selepas pembedahan berkenaan.

“Kedua-dua telinga tidak berfungsi langsung dan selepas pembedahan implan koklea, hanya telinga sebelah kiri dapat digunakan.

“Saya juga tidak boleh melakukan aktiviti lasak bimbang menjejaskan rawatan yang sedang dijalani sehingga kini,” kata beliau ketika ditemui selepas dikunjungi Naib Canselor Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli bagi menyerahkan surat tawaran.

Dr Zaliman, berkata, pihak UniMAP memahami kesukaran yang dihadapi Muhammad Fuzail dan  universiti melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan dana bagi memberi peluang golongan seperti Muhammad Fuzail mendapat tempat di universiti.

“Di UniMAP juga terdapat pelbagai kemudahan yang mesra OKU untuk memudahkan mereka menjalani rutin harian dengan lebih selesa.

“Mereka hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan. KPT dan universiti terbuka menerima pelajar sama ada OKU mahupun golongan B40 bagi menyambung pengajian,” katanya menerusi satu kenyataan.

Semasa menyerahkan surat tawaran tersebut, Dr Zaliman turut menyampaikan bantuan awal melanjutkan pengajian bernilai RM500 sebagai persediaan Muhammad Fuzail mendaftar masuk ke UniMAP penghujung bulan ini dan wang tunai RM500 daripada Yayasan Kebajikan Siswa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast