KUALA LUMPUR – Agrobank menyediakan dana pembiayaan sehingga RM350,000 untuk para penternak komuniti dan mikro, manakala dana pembiayaan sehingga RM5 Juta turut disediakan buat para penternak kecil dan sederhana bagi meningkatkan bekalan ayam.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Agrobank sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam mencapai agenda kerajaan melalui pembiayaan modal kerja dan modal tetap kepada para penternak bersaiz kecil dan sederhana, serta Skim Mikro Kredit dalam bentuk pembiayaan modal pusingan buat para penternak komuniti.
Pembiayaan ini termasuk transformasi daripada reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
Tengku Ahmad Badli berkata, dengan margin sehingga 90% bagi tempoh pembiayaan sehingga sembilan tahun, para penternak komuniti dan mikro serta penternak kecil dan sederhana masing-masing bakal menikmati kadar keuntungan sehingga 3.0% setahun mengikut baki bulanan.
“Matlamat program ini antara lain adalah untuk meningkatkan akses bekalan ayam secara terus daripada penternak kepada pemborong dan peruncit di pasaran.
“Program ini juga membolehkan para pengusaha untuk beralih kepada teknik pemeliharaan yang lebih cekap, yang mana ia secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti ladang, mengurangkan kos pengeluaran, dan akhirnya harga ayam yang berpatutan dapat ditawarkan kepada pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette