Maher dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah mengambil kira rayuannya.

GEORGE TOWN – Bekas tentera Syria terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi membenarkan tertuduh bersatu semula dengan keluarganya yang terjejas akibat perang Israel-Palestin.

Terdahulu, tertuduh, Maher Karkazan, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menculik rakan senegaranya bagi mendapatkan wang tebusan RM100,000 pada Jun 2019.

Maher sebelum ini berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen serta akta sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda selepas peguam tertuduh, R. Dev Chander memohon representasi sebelum dibenarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Tertuduh merayu mahu pulang ke Syria untuk bertemu keluarga memandangkan tempat mereka berhampiran sempadan Palestin.

Mengikut pertuduhan pilihan, Maher didakwa menculik Maher Kattan Mohamad, 22, yang merupakan pekerja kedai Mr Shawerma di Tanjong Tokong pada 6 Jun 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, R. Dev Chander.

Ketika prosiding, Sariza memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara sekurangnya-kurangnya lima tahun berdasarkan kes-kes lampau yang teruk.

Dalam rayuan, Dev Chander meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan terhadap tertuduh susulan dia mahu pulang ke negara asalnya untuk bersatu semula dengan ibu serta dua anaknya memandangkan mereka tinggal bersempadan dengan Palestin yang kini dalam keadaan konflik.

“Keluarga tertuduh tinggal berdekatan dengan Tebing Barat dan malah pada 2019 dia kehilangan isterinya selepas kampung mereka dibom.

“Selain itu, ini merupakan kesalahan pertama tertuduh selain mangsa yang diculik berjaya dijejaki polis dalam tempoh kurang empat jam serta tiada rekod penerimaan wang tebusan.

Mahkamah perintahkan percepatkan urusan pengusiran tertuduh ke negara asalnya.

“Malah, pengakuan bersalah daripada anak guam saya itu juga telah menjimatkan masa dan kos selain dia kesal dengan tindakannya,” kata Dev Chander.

Dev Chander turut meminta mahkamah memerintahkan penjara dan pihak berkuasa imigresen memproses pengusiran Maher secepat mungkin serta menghubungi UNHCR untuk tujuan dokumentasi.

Rofiah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun terhadap Maher selepas mengambil kira rayuan tertuduh untuk pulang ke Syria bagi bersatu semula dengan keluarganya.

“Mahkamah mendapati tertuduh bukan rakyat tempatan dan ada keluarga di negara berkecamuk dengan perang yang berlaku di negara jiran (Palestin).

“Tertuduh ditahan dan direman selama lebih empat tahun dalam situasi keluarga berada berhampiran tempat bergolak merupakan penderaan mental yang sudah membentuk satu hukuman kepada tertuduh.

“Memandangkan tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah, saya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkapan dan semoga tertuduh selamat kembali ke negaranya untuk bertemu keluarga serta dilindungi Allah SWT,” katanya.

Rofiah juga mengarahkan pegawai penjara menghubungi pegawai UNHCR untuk memudahkan dokumen berkaitan untuk pengusiran tertuduh ke Syria.

Sebaik selepas kes, pihak polis menyerahkan Maher kepada pihak imigresen di luar mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast