Kemusnahan bangunan-bangunan di Gaza diserang Israel.

NEW YORK – Jumlah kematian kanak-kanak Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang mati dibunuh oleh Israel selama tiga minggu melebihi bilangan kematian dalam konflik di seluruh dunia untuk tempoh tiga tahun.

Sebuah badan bukan kerajaan Save The Children memberitahu kematian lebih 3,300 kanak-kanak tersebut melebihi angka yang direkodkan dalam konflik bersenjata di 24 buah negara sepanjang tiga tahun terakhir.

“Kami menyeru gencatan senjata segera. Kami menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk mengambil langkah segera untuk melindungi nyawa kanak-kanak, dan masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha tersebut,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Mengikut laporan tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata, sebanyak 2,985 kanak-kanak terbunuh di 24 negara pada 2022.

Pada 2021 (2,515), 2020 (2,674) dan 2019 (4,019) kanak-kanak terbunuh dalam konflik di seluruh dunia.

Konflik di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu selepas pejuang Hamas melakukan serangan mengejut ke atas Israel bagi membalas dendam terhadap rejim berkenaan yang telah membunuh lebih 200 rakyat Palestin tahun ini sahaja dan beribu yang lain sejak 75 tahun lalu.

Israel kemudiaannya menyerang Gaza tanpa henti sejak 24 hari lalu yang mengakibatkan lebih 8,000 nyawa rakyat Palestin telah terkorban. – Agensi