Gambar hiasan

IPOH – Musim hujan berterusan merupakan antara faktor pertambahan pembiakan nyamuk aedes, sekali gus menjurus kepada peningkatan kes denggi hingga 265 peratus di Ipoh pada September hingga Oktober ini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, setakat 21 Okt (minggu Epid: 42/2023), sebanyak 1,504 kes dilaporkan berbanding 412  kes bagi tempoh sama tahun lepas, bagaimanapun tiada kes kematian dilaporkan.

“Setakat 28 Okt, sebanyak 14 lokaliti wabak terkawal dan tiga lokaliti wabak tidak terkawal telah dilaporkan, manakala lima lagi telah menjadi lokaliti hot spot,” katanya dalam ucapan bersempena dengan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Bulan Oktober 2023 di sini hari ini.

Justeru, Rumaizi menasihati warga bandar raya itu supaya terus mengambil langkah pencegahan dan kawalan denggi dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar persekitaran rumah.

Sementara itu, beliau berkata, MBI menawarkan hadiah menarik dengan jumlah keseluruhan bernilai RM99,000 untuk Cabutan Bertuah Tahun 2024 bagi warga Ipoh yang membuat bayaran cukai taksiran setahun tanpa tunggakan di mana-mana saluran pembayaran MBI.

Rumaizi berkata pembayar cukai juga boleh memuat turun aplikasi DMBI serta mendaftar sebagai pengguna bagi melayakkan diri untuk menyertai cabutan itu yang menawarkan 30 hadiah utama iaitu sebuah kereta Perodua Axia, empat motosikal, 10 barangan kelengkapan rumah/barangan digital dan 15 hadiah wang tunai.

“Sejumlah 20,000 unit ganjaran berupa rebat wang tunai sebanyak RM3 bagi bayaran satu penggal dan RM5 bayaran setahun juga ditawarkan dan pengguna boleh membuat bayaran awal bagi bil cukai taksiran 2024 mulai 10 Nov ini,” katanya. – BERNAMA