Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak Parlimen menyatakan pendirian mengecam rejim Zionis Israel sebagai penjenayah perang ekoran keganasan yang dilakukannya di Gaza.

Timbalan Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pendirian tegas itu perlu disuarakan secara rasmi dalam bentuk usul dan bukan sekadar penerangan atau pemberitaan daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Machang itu mendakwa, setakat ini, istilah ‘penjenayah perang’ yang ditujukan kepada rejim Zionis Israel masih belum disebut secara jelas di Parlimen.

“Kita tidak dengar lagi istilah itu terpacul daripada mulut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa apa yang berlaku adalah jenayah perang kerana ia ada kesan yang besar dari segi undang-undang.

“Jadi kita nak itu keluar daripada Parlimen kita. Macam mana Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan cakap dalam himpunan, di Parlimen Turkiye tentang Hamas,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menambah, pendirian tersebut juga telah dinyatakan di Parlimen Brazil, Sepanyol dan Ireland.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan agar kerajaan membentangkan usul mengecam rejim Zionis Israel sebagai penjenayah perang dan pembangkang bersedia untuk menyokongnya.

“Seperti masa Datuk Seri Najib Razak dulu pada 2010. Kerajaan yang bawa usul, ini sesuatu yang bagus, seperti isu Mavi Marmara,” jelasnya. – MalaysiaGazette