Syarul Ema Rena Abu Samah.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain yang mendakwa penyedia kandungan pro Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih popular sebagai Ratu Naga tidak memberi kerjasama adalah tidak benar.

Lawyers For Liberty (LFL) dalam satu kenyataan mendakwa, dakwaan Razarudin adalah fitnah dan amat serius memandangkan Syarul Ema hanya menggunakan haknya seperti termaktub dalam undang-undang.

Menurut Pengarah LFL, Zaid Malek, adalah ironi untuk seorang KPN membuat fitnah berkaitan siasatan ke atas Syarul Ema.

“Beliau (Syarul Ema) telah hadir ke balai polis untuk beri keterangan seperti yang diarahkan namun pada masa sama beliau berhak diam apabila dikemukakan soalan. Tidak benar sama sekali Ketua Polis mendakwa Ema tidak beri kerjasama.

“Kerana ambil berat dengan proses undang-undang, beliau telah hadir ke Bukit Aman apabila dipanggil, tetapi pada masa bertentangan dengan dakwaan Razarudin bahawa adanya kewajiban undang-undang untuk (Syarul) Ema jawab soalan polis.

“Hak untuk berdiam diri semasa soal siasat polis adalah asas sistem keadilan jenayah kita seperti yang termaktub dalam Seksyen 112(2) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya, hari ini.

Jelas Zaid, Sesyen 112 (2) jelas menyatakan mana-mana induvidu boleh menggunakan hak untuk berdiam diri terhadap mana-mana soalan yang boleh mendedahkan mereka kepada pertuduhan jenayah.

“Jika tidak tahu, beliau tidak layak jadi KPN. Ini sangat tidak masuk akal, lucu dan pada masa sama memalukan,” ujarnya.

Pada 22 Oktober lepas, Ahli PKR Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast