Mohd Sany Hamzan
Mohd Sany Hamzan.

KUALA LUMPUR – Sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 hari ini kecoh seketika apabila Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) tidak berpuas hati kerana isu-isu yang dibangkitkannya dalam perbahasan masih belum dijawab oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau meluahkan perasaannya ketika penggulungan Alexander bagi kementeriannya menghampiri had masa 45 minit yang diperuntukkan kepada setiap menteri.

Mohd Sany juga menegur wakil-wakil pembangkang yang kerap membangkitkan isu-isu yang sama ketika mencelah penggulungan Alexander.

“Saya nak mengadu sikit dengan Speaker, kami yang bahas ni tanya dengan Kementerian Kerja Raya, jawapan tak dapat.

“Ada yang bangkit dua tiga kali, soal benda yang sama juga. Kami yang tunggu ni nak tahu, rakyat di luar nak tahu.

“Hari tu bukan main lagi, masa dah nak habis ni, last-last menteri beritahu dia kata, akan jawab secara bertulis, jadi tak syoklah kita yang tanya ni kan,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor yang mempengerusikan sidang tersebut menjelaskan, menteri boleh memilih untuk berhenti menjawab dan memberi jawapan bertulis.

“Kalau ikut buku peraturan saya sendiri tak boleh paksa menteri menjawab, jadi apa yang saya nak nyatakan di sini atas budi bicara menteri,” jelasnya.

Alexander kemudian menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Mohd Sany namun Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula bangkit kerana tidak berpuas hati dan meminta semua isu-isu yang berbaki dijawab secara bertulis.

Ramli seterusnya memberi masa tambahan kepada Alexander bagi mengelak  ‘dewan menjadi pasar borong’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast