Abdul Rashid Yaakub. Foto KBS.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Abdul Rashid bagi menggantikan Shapawi Ismail yang bersara wajib pada 28 September lalu diumumkan MSN dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Rashid, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia mula berkhidmat di MSN sebagai ketua unit kewangan pada 1988 hingga 2002.

Beliau kemudian dilantik sebagai pengarah cawangan kewangan pada 2003 hingga 2006, pengarah bahagian khidmat pengurusan (2007-2017), pengarah bahagian korporat (2018-2019) dan timbalan ketua pengarah (Pengurusan) bermula 2020.

Abdul Rashid mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang melantik beliau untuk menerajui badan induk berkenaan serta berikrar akan menggalas tanggungjawab menggunakan pengalamannya selama 35 tahun di MSN.

“Saya mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Kementerian Belia dan Sukan serta Ahli Lembaga Pengurus MSN kerana melantik saya selaku ketua pengarah MSN.

“Insya-Allah kita buat perbincangan bersama dan laksanakan perubahan mana perlu manakala yang baik akan kita teruskan supaya dapat mempertingkatkan lagi prestasi sukan di negara,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi kepada media hari ini. – MalaysiaGazette

Foto KBS.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast