MELAKA – Seorang bayi perempuan berusia 58 hari meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah pangsa di Taman Melaka Raya, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian diterima doktor Hospital Melaka kira-kira 6.30 pagi daripada ibu mangsa yang menghantar sendiri anaknya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan lanjut mendapati, si mati yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik tidur berdua bersama ibunya berusia 26 tahun kira-kira 11 malam tadi di atas tilam rumahnya.
“Dua jam kemudian, ibunya telah memberikannya susu tepung dan selepas disendawakan, bayi berkenaan diletakkan dalam keadaan terlentang di atas tilam.
“Kira-kira pukul 5 pagi ketika bangun untuk ke tandas, wanita itu mendapati anaknya dalam keadaan kaku sambil tertiarap sebelum membawanya ke Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bayi berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas pada pukul 7.10 pagi tadi setelah bantuan CPR selama 40 minit gagal menyelamatkan nyawanya.
“Pemeriksaan fizikal pada badan si mati dapati tiada kesan lebam atau luka selain keputusan X-ray juga mendapati tiada kesan patah atau pendarahan dalaman.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya – MalaysiaGazette