BANGI – Kerajaan sedang merencanakan untuk menggubal Dasar Sumber Manusia Negara.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, perancangan itu baru dimulakan berdasarkan kepada rangka kerja yang dibangunkan pada 2019.
“Kita sudah ada rangka yang dibangunkan sejak 2019, tetapi ia belum disiapkan. Pada awalnya kita cuba buat dasar sumber manusia pada tahun 2019 dan kemudiannya ada cadangan untuk buat blueprint pada 2021.
“Kita akan melihat kepada kedua-dua iaitu dasar dan blueprint dan sekarang kita sedang merangka dasar sumber manusia negara, ia masih di tahap terawal lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Minda Sihat Hidup Sejahtera di Menara Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang meneliti semula dasar-dasar melibatkan sumber manusia dan modal insan dalam usaha mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran ke pasaran kerja tempatan.
Ismail Sabri berkata Majlis Tindakan Ekonomi yang bermesyuarat ketika itu mengakui selain menghadapi cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, negara kini berdepan saingan dari negara maju yang menawarkan gaji lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor berpotensi tinggi. – MalaysiaGazette