KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengarahkan Meta selaku pemilik Facebook melakukan pengisytiharan maklumat peribadi terhadap pihak yang mahu mengiklan kandungan perjudian.
Namun, menterinya, Fahmi Fadzil masih tidak berpuas hati dengan kerjasama syarikat berkenaan kerana mahu masalah judi dalam talian diatasi dengan lebih berkesan menerusi platform tersebut.
“Oleh itu, KKD melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berbincang bagi mendapatkan kerjasama penuh daripada Meta dalam memastikan masalah judi dalam talian dapat diatasi dengan lebih berkesan.
“Antara kerjasama diminta adalah komitmen pelaksanaan tindakan penurunan kandungan dalam tempoh pantas bagi setiap permohonan diterima daripada pihak berkuasa Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementerian di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sejak 1 Januari hingga 30 September lalu, SKMM dengan kerjasama Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp menurunkan 7,844 kandungan berkaitan perjudian.
Sementara itu, Fahmi memberitahu, KKD akan meletakkan syarat untuk melesenkan pengoperasian media sosial di negara ini memandangkan operasinya ketika ini tidak berdaftar.
Menurut beliau, dengan melesenkan operasi media sosial memudahkan kementerian itu mengeluarkan arahan pematuhan undang-undang yang ditetapkan di negara ini. – MalaysoaGazette