KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedia menimbang cadangan untuk menyediakan peluang sewaan premis perniagaan di bangunan milikan kerajaan kepada usahawan orang kurang upaya (OKU).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan tersebut akan diteliti melalui Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Wanita dan OKU di bawah kementeriannya.
Menurut beliau, tindakan susulan dengan mengadakan perbincangan bersama wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan dilakukan.
“KUSKOP melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional telah melaksanakan program khusus kepada golongan OKU seperti Program Usahawan Berkebolehan dan Berkeyakinan (CARE) dan Skim Pembiayaan Orang Kurang Upaya.
“Golongan OKU juga boleh memohon bantuan melalui program-program keusahawanan lain di bawah KUSKOP dan kementerian-kementerian lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Ewon menambah, KUSLOP amat komoted fokus untuk membantu usahawan kategori itu bagi membantu meningkatkan taraf hidup.
Sementara itu, Ewon memberitahu, berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdaftar di Malaysia pada tahun lalu menurun kepada 1.17 juta berbanding 1.23 juta pada 2021.
Jelas beliau, jumlah tersebut meliputi 97.4 peratus daripada jumlah perniagaan dalam negara.
“Penurunan sebanyak 52,893 PMKS pada tahun 2022 berbanding 2021 ini adalah didorong oleh pelbagai faktor seperti kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaan, peningkatan kadar inflasi, kenaikan harga barang dan kos operasi yang memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan PMKS di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette